Tangisan Muslim Rohingya, Malaysia terus membisu 
SATU Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah diadakan akhir tahun lepas bagi mencapai kata sepakat berhubung isu penghapusan etnik Muslim Rohingyadi Myanmar. Hasil dari perhimpunan tersebut, satu resolusi telah berjaya dipersetujui dengan menggesa kerajaan Myanmar mengambil tindakan memperbaiki situasi dengan  melindungi hak asasi manusia dan memberi hak kewarganegaraan masyarakat Islam.

Namun, reaksi cukup negatif telah ditunjukkan oleh masyarakat Buddha Rakhine. Di saat Muslim Rohingya diperintah berkurung, mereka telah menyerang dengan ganas Pasaraya Utama Maungdaw di Arakan dengan membakar tujuh kedai yang dimiliki oleh orang Islam dan membuat rompakan sebanyak 12 kedai. Mereka juga telah membakar sebuah masjid tertua di Arakan yang telah didirikan dari abad ke-19 yang dikenali sebagai ‘Hakim Ali’.

Pada bulan November 2013, satu delegasi OIC telah membuat lawatan ke Myanmar bagi meninjau nasib Muslim Rohingya yang terpaksa hidup dalam keadaan terancam. Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu dan anggota delegasi yang lain telah menghabiskan masa selama empat hari berhasrat untuk bertemu dengan presiden, menteri, kumpulan agama dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tetapi,  Aung San Suu Kyi enggan menemui mereka.

Reaksi dari lawatan delegasi OIC tersebut, satu demonstrasi telahdilancarkan oleh puak sami-sami Buddha esktrimis sebagai tanda protes dan bantahan. Demonstrasi yang telah mendapat cop ‘halal’ dari pihak berkuasa kerajaan Myanmar dengan jelas membawa mesej ingin mengisyiharkan perang ke atas Islam dan kaum Muslimin.

Tidak cukup dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai, membakar hidup-hidup mangsa, membakar masjid, memusnahkan kubur, menyeksa kanak-kanak dan merogol gadis-gadis tanpa sifat kemanusiaan, mereka dengan berani mengangkat sepanduk yang membawa mesej melabelkan Islam sebagai agama haiwan. Dengan jelas, mereka mahu melenyapkan Islam di bumi Myanmar dengan meneruskan penindasan dan penghinaan terhadap umat Islam.

Di Malaysia, satu tindakan diambil diperingkat NGO dengan menubuhkan Koaliasi Menentang Ekstrimisme Agama di Myanmar (Coaliation Against Extremism in Myanmar-CAREM) bagi mengutuk sekerasnya terhadap penghinaan Islam yang dipamerkan dalam demonstrasi tersebut.

Mohd Azmi Abdul Hamid bertindak sebagai Koordinator CAREM telah mendesak semua penganut agama di dunia yang cintakan kedamaian, keharmonian dan saling hormat antara agama supaya menyatakan sikap dan pendirian mengecam tindakan kelompok esktrimis Buddha di Myanmar.

Tindakan kejam yang dilakukan oleh esktrimis Buddha telah melanggar Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB apabila bertindak melakukan keganasan antara agama. Dalai Lama sebagai ketua kerohanian penganut Buddha seluruh dunia perlu bersuara agar kerajaan Myanmar menghentikan penindasan terhadap penganut agama lain.

Anggota negara-negara Asean juga tidak boleh berdiam diri dengan sikap ‘lepas tangan’dan membisu dengan terusmemberi tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya menghentikan polisi penindasan terhadap agama lain.  Jika Myanmar terus bersikap ekstrim dan menjadikan masyarakat Islam Rohingya dalam suasana ketakutan, maka kedudukan Myanmar sebagai Pengerusi Asean 2014 juga perlu dikaji semula.

Negara-negara OIC juga perlu sebulat suara dalam menyatakan bantahan terhadap kebiadapan ekstrimis Buddha yang secara hakikatnya disokong oleh kerajaan Myanmar. OIC perlu mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Myanmar dan menuntut supaya semua kedutaan Myanmar di negara-negara OIC 'dihalau’ keluar jika kempen membenci Islam tidak dihentikan serta-merta.

Pendirian kerajaan Malaysia juga masih dinanti-nantikan di saat Kejohanan Sukan SEA kali ke 27 yang bakal berlangsung di Myanmar bermula 11 Disember ini. Kerajaan Malaysia sewajarnya membatalkan penyertaan olahragawan dan olahragawati Muslim dari Malaysia ke Sukan SEA tahun iniatas alasan kerajaan Myanmar bersikap anti Islam dan kehadiran atlet Islam yang tidak selamat dan tidak terjamin.

Seterusnya, kerajaan Malaysia secara bijaknya digesa untuk menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan Myanmar agar kerajaan Myanmar menghormati agama Islam dengan memberi kebebasan kepada orang Islam untuk hidup aman dan tenang sebagaimana penganut agama Buddha merasai kebebasan beragama di Malaysia.

Rakyat juga masih menunggu di mana suara Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sinonim dengan membawa aspirasi anak muda agar memberi respon dengan penglibatan atlet Islam dalam Kejohanan Sukan SEA di Myanmar kali ini.



Hasil Nukilan,

ABDUL MALIK BIN AB RAZAK

Penulis ialah mahasiswa tahun 3 di Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)