Muslim dan Al-Quran II

Monday, September 07, 2009

Cara bagaimana al-Quran diturunkan

Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah SWT pada tempoh tersebut.

Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat-peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud: “Berkatalah orang-orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran).”

Surah pertama turun dalam al-Quran

Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran.

Ayat terakhir turun dalam al-Quran

Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadis tertentu:

Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman.” ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas.

Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah: “Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah.” Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair.

Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Quran. Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab.

Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.”

Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya.

Apakah yang ada dalam al-Quran?

Sesungguhnya isi-isi kandungan meliputi pelbagai aspek yang diperlukan oleh manusia bagi mengurus kehidupan mereka dengan lebih sistematik. Dalam al-Quran terdapat ayat yang mengisahkan tentang cerita orang-orang terdahulu dan akan datang (pada hari kiamat) yang sepatutnya menjadi contoh teladan umat Islam hari ini, kerana ayat-ayat cukup sesuai sampai bila-bila, ini menunjukkan bahawa Allah SWT yang memiliki kitab suci tersebut bersifat Maha Sempurna dalam segenap tindak-tanduk-Nya.

Tidak kurang juga al-Quran memberi panduan untuk beramal ibadat seperti ayat-ayat wuduk, solat, perkahwinan, sistem kewangan, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, alam sekitar, sains, kaji hayat, sejarah dan banyak lagi yang tidak dapat untuk disenaraikan satu persatu di sini.

Ia juga merakamkan ayat mengenai akidah, ibadat, hubungan manusia dengan Tuhannya, penganjuran supaya berakhlak mulia dan meninggalkan akhlak tercela, cerita tentang azab dan nikmat, syurga dan neraka dan lain-lain.

Apa yang penting, al-Quran bukanlah kitab kuno atau doktrin yang hanya sesuai di zaman unta semata-mata seperti yang didakwakan oleh sesetengah para ilmuan termasuk di kalangan orang Islam, malah ia lebih kepada kitab yang memberi pedoman dan panduan berguna menuju jalan keselamatan hidup di dunia dan akhirat dalam segenap bidang yang mereka perlukan.

Sikap Muslim terhadap al-Quran

Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud: “Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.” Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan Allah al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular, Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba Allah yang menolak kebenaran al-Quran secara mutlak.

Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

1- Yang menganiayai diri mereka sendiri : Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidaka membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramala dengan perintah Allah di dalamnya.

2- Adapun golongan yang bersederhana : Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.

3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan : Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredaan Allah SWT.

Contoh ayat motivasi dalam al-Quran yang sepatutnya dikuasai

1- Sesungguhnya yang membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam, kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam, tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-Quran seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud : “Bagaimana kmu sampai menjadi kafir, pada hal ayat-ayat (al-Quran) dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu?”

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Rasulullah berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, mengadakan majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, namun akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi golongan yang menentang (kafir) kebenaran.

2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal solih dinaikkannya.”

Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah SWT memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum agama seseorang itu akan dimuliakan Allah SWT.

Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya.

Tadarus al-Quran pada bulan Ramadan

Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis (hadis yang ke-36 dalam hadis 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan bertadarus (berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat dan Allah akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.”

Menurut hadis di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Quran, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apa yang penting, Ramadan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan al-Quran termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-Quran dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid, supaya Ramadan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji serta beramal dengan al-Quran, mudah-mudahan dengan cara itu kita menjadi graduan Ramadan cemerlang pada kali ini, Amin.

0 comments: